BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Pages

Thursday, May 19, 2011

TITIAN SIRAT

Bismillahirrahmanirrahim…
Salam alaik’ buat semua muslimin dan muslimat..
... maaf krn ana sudah lama xmnghilangkn dri.... =).. INSYAALLAH, pd hari ini kita akan mngetengahkan topik

TITIAN SIRAT
yg mana topik ini sgt mngerunkan dan mmpu mmberi keinsafan kpd kita..

Mari kita rujuk sebuah hadis panjang riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Dan diletakan sebuah jambatan di atas neraka jahanam, lalu aku dan umatku menjadi orang pertama yang meniti di atasnya. Rasul-rasul berdoa pada hari itu: “Ya Allah, selamatkan, selamatkan.’ Di kanan kirinya ada pengait-pengait seperti duri pokok Sa’dan. Pernahkah kalian melihat duri pokok Sa’dan?” Para sahabat menjawab: “Pernah, wahai Rasulullah.”

Baginda melanjutkan: “Sesungguhnya pengait itu seperti duri pokok Sa’dan, namun hanya Allah yang tahu besarnya. Maka ramai manusia yang disambar dengan pengait itu sesuai dengan amal perbuatannya di dunia.”

Suasana pada saat itu pastinya sangat mengerikan. Suara teriakan, jeritan meminta tolong, tangisan dan ketakutan terdengar daripada berbagai arah. Lebih mengerikan lagi, suara gemuruh api neraka dari bawah sirat yang siap menelan orang yang terjatuh ke dalamnya. Tidak henti-henti Rasulullah s.a.w. dan nabi-nabi yang lain termasuk juga malaikat berdoa untuk keselamatan manusia, “Ya Allah, selamatkan, selamatkan.”

Hakikat Sirat

kenyakinan akan adanya sirat adalah tergolong dalam salah satu perkara ghaib yang wajib diyakini oleh setiap orang yang bergelar muslim dan ini adalah aqidah seluruh Ahli Sunah Waljamaah. Imam al-Nawawi berkata dalam Syarh Sahih Muslim, “Semua ulama salaf telah ijmak (sepakat) menetapkan adanya titian ini.” Jadi, setiap Muslim wajib menjadikan kepercayaan mengenai perkara ini sebagai sebahagian daripada aqidahnya.

Berkenaan dengan sifat titian sirat, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, mafhumnya: “Ia ialah sebuah jalan yang sangat licin, kaki sulit sekali berdiri di atasnya.” (Riwayat Imam Muslim daripada Abu Said al-Khudri) Dalam hadis Ahmad daripada Aisyah r.h.a, Rasulullah s.a.w. menyebutkan bahawa sifat titian itu lebih tipis daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang.

Sirat di akhirat ini wujud hasil daripada titian (jalan) hidup yang kita pilih selama tinggal di dunia. Itulah sebabnya setiap hari kita meminta Siratulmustakim (jalan yang lurus) di dalam solat kita. Oleh sebab itu, sesiapa yang memilih jalan Allah, sambil berpegang teguh dengan syariat Islam, maka sirat di akhirat ini akan mudah di lalui untuk mencapai syurga idaman.

Dan sebaliknya, sesiapa yang enggan melalui jalan Allah ini, lalu memilih jalan hidup yang bebas daripada aturan halal haram, maka pada hari itu sirat yang akan dilaluinya menjadi sangat sempit dan sukar dilalui. Begitu juga bagi orang yang pernah melalui jalan islam namun berbalik, murtad di tengah-tengah jalan. Kedua-dua golongan ini akan tergelincir dari titian lalu jatuh melayang-layang ke dalam neraka jahanam selama-lamanya.

Imam Abu Tahir al-Qazwini berkata: “Setiap orang yang biasa berjalan di titian agama, maka ia akan sangat mudah melintasi sirat di akhirat. Dan sesiapa yang tidak biasa melaluinya, maka ia akan menemui kesulitan berjalan di atasnya, kakinya akan tergelincir dan ia akan menyesal selama-lamanya.”

Berjalan dengan Cepat

Terdapat berbagai-bagai hadis yang menyebutkan bahawa setiap orang lalu di atas sirat sesuai dengan amal perbuatanya di dunia. Dalam sebuah riwayat Muslim daripada Abu Said al-Khudri, Rasulullah s.a.w. bersabda mafhumnya: “Maka berlalu orang Mukmin dalam sekelip mata, ada juga yang lalu seperti kilat, seperti angina, seperti burung, seperti kuda pacu dan seperti unta.”

Dalam riwayat Imam Hanad bin Siri daripada Ibn Mas’ud, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Lalu seperti orang yang berlari,lalu seperti orang yang berjalan. Ada juga yang berjalan dengan merangkak menggunakan perutnya. Ia berkata: “Ya Tuhan, kenapa Engkau lambatkan aku?’ Maka dijawab: ‘Aku tidak melambatkanmu, tetapi amal perbuatanmu sendiri yang melambatkan dirimu.’”

Ini juga adalah balasan bagi kecepatan setiap orang dalam meraih redha Allah di dunia. Sesetengah manusia ada yang jika diperintahkan melakukan ibadah atau membantu saudaranya, ia segera melakukan perbuatan itu tanpa berlengah-lengah. Sesetengah yang lain melakukanya setelah satu jam, satu hari atau seminggu kemudian. Sebahagian yang lain, bahkan hanya dapat melaksanakan perintah itu setelah ia hamper meninggal dunia.

Sering kali kita terdengar ucapan seseorang ketika diajak kembali ke jalan Allah, “Nantilah dulu, bila aku dah tua, aku bertaubatlah.” Juga ucapan seseorang wanita jika dinasihati supaya menutup aurat, “Nanti bila dah tua, aku pakai la tudung / hijab.” Dan juga, “Belum terbuka pintu hati aku ni nak pakai tudung.” Ucapan ini bertitik tolak daripada akal yang lemah dan juga pemikiran yang dangkal. Jika seseorang itu beriman, tidak mungkin ia berkata seperti itu. Sebab semua orang tahu bahawa ajal boleh datang tiba-tiba tanpa membezakan usia, lalu siapa yang menjamin bahawa ia mencapai usia tua?

Itu sebabnya ulama salafussoleh selalu berpesan, “Hati-hati dengan kalimat ‘nanti’ (saufa); nanti aku solat, nanti aku berzakat; nanti aku puasa;” (Ibn al-Mubarak, al-Zuhd). Rasulullah s.a.w. juga selalu mengingatkan agar kita jangan pernah menunda-nunda pekerjaan yang baik. Baginda ditanya: “Sedekah apa yang paling banyak pahalanya?” Rasulullah s.a.w. menjawab yang bermaksud: “Iaitu sedekah yang engkau berikan ketika masih sihat, kedekut, takut jatuh fakir dan masih menyukai kekayaan. Jangan tunggu hingga nyawa telah berada di kerongkong, lalu pada saat itu engkau berkata: ‘Ini untuk si polan, ini untuk si polan.’ Padahal seharusnya sejak lama harta itu milik si polan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ringkasnya, secepat apa pun tindakan kita dalam berbuat kebaikan, secepat itu juga perjalanan kita melintas di atas sirat nanti.

Renungan Bersama

Setiap orang daripada kita akan melalui masa-masa ini. Akan tiba masanya kita memandang sirat di hadapan, dengan api neraka yang berwarna hitam menyala-nyala di bawahnya. Kita lalu dipaksa untuk ,melangkahkan kaki ke atasnya, padahal hati kita berdebar-debar, tubuh gementar dan suara jahanam seolah-olah penuh kemarahan.

Kita menoleh ke kanan dan kiri, kita lihat ribuan manusia terjatuh satu persatu dari titian. Pada saat itu, jantung kita seolah-olah terputus kerana ketakutan. Fikiran kita seera kembali ke dunia mencari-cari, amalan apa yang pernah aku siapkan untuk menghadapi saat-saat ini? Orang yang berakal segera beramal untuk saat itu sejak saat ini.

Wallahu a’lam bishawab….

0 Orang berkata: